|
SUMBER: GOOGLE IMEJ
|
|
SUMBER: GOOGLE IMEJ |
Malaysia
bertuah memiliki hasil alam yang dapat menyumbang kepada pendapatan dan ekonomi
rakyat tempatan. Bidang hasil rimba seperti bahan daripada kayu, buluh, rotan,
mengkuang, pandan, bemban, tempurung kelapa dan daun serdang gigih diusahakan
oleh usahawan kraf tempatan untuk produk kraftangan. Produk-produk ini
mempunyai pasaran yang luas pada masa kini sama ada untuk pasaran tempatan dan
pasaran antarabangsa. Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM),
mentakrifkan kraftangan ialah kerja penghasilan peralatan berguna atau hiasan
dengan menggunakan tangan sepenuhnya atau perkakas ringkas sahaja. Pertukangan
kraftangan seharusnya dikerjakan secara perseorangan atau kecil-kecilan. Hasil
kraftangan selalunya membawa kepentingan kebudayaan atau keagamaan. Manakala
keluaran kraftangan ertinya apa-apa keluaran artistik yang mempunyai daya
tarikan kebudayaan atau tradisional dan adalah hasil dari sesuatu proses yang
bergantung semata-mata atau sebahagiannya kepada kemahiran tangan. Kraftangan
juga termasuk semua barangan seni yang menjadi tarikan masyarakat atau
mempunyai tarikan unsur tradisional yang menunjukkan proses pembentukan.
Pembentukan dengan menggunakan kemahiran tangan boleh juga meliputi penggunaan
mesin atau alat-alat yang ada. Manakala Peter Dolmer (1997), mentafsirkan makna
kraf sebagai aktiviti kreatif berkemahiran dan penelitian proses-proses yang
perlu dilalui untuk menghasilkan seni anyaman. Ini menunjukkan bahawa ianya
memerlukan pemikiran saintifik dan matematik yang kompleks dan rumit yang
selalunya hanya dianggap sebagai simbol tanda kepekaan yang asli atau hasil
kerja seni. Sementara itu, menurut Ismail Ibrahim (2007), seni kraf mempunyai
aturan dalam penghasilannya. Pengamal kraf disebut tukang, bersesuaian dengan
kemahiran yang dimiliki sejak turun-temurun. Penghayatan seni kraf mengambil
kira aspek berikut; pertama adalah pengetahuan dan pengalaman tukang dan kedua,
kemahiran tukang dalam mengaplikasikan teknik penghasilannya. Justeru, kraf
tradisi ini mencetuskan keindahan, kehalusan dan keaslian yang tersembunyi
malah motif-motif disampaikan adalah satu cerminan terhadap nilai kepercayaan
dan adat budaya masyarakat mereka. Kraftangan mempunyai tiga ciri utama iaitu
hasil keluaran, kepercayaan budaya dan agama serta keperluan tradisional.
Ketiga-tiga ciri ini digabungkan untuk mewujudkan satu nilai estetika yang
menggunakan tenaga manusia sendiri tanpa alat yang berteknologi tinggi dan
biasanya hasil kraftangan adalah bersifat sederhana dan tidak terlalu kompleks
seperti keluaran lain. Terdapat pelbagai jenis hasil kraftangan yang boleh
diperolehi bersumberkan hasil hutan seperti perabot-perabot contohnya almari,
kerusi malas, meja dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment