Popular Posts

Sunday 10 November 2013

Sumbangan kraftangan kepada Malaysia

SUMBER: GOOGLE IMEJ



SUMBER: GOOGLE IMEJ
SUMBER: GOOGLE IMEJ
Sumbangan kraf kepada Malaysia telah meningkatkan perkembangan industri pelancongan selain menambahkan pendapatan dan peluang pekerjaaan kepada rakyat Malaysia. Kraf adalah industri warisan yang bergantung kepada kecekapan seseorang individu sehingga hasil kerja diberi nilaian yang tinggi. Namun kemahiran ini akan lenyap sekiranya tidak ada usaha untuk mengembangkan kepada generasi baru. Tindakan yang paling logik untuk memajukan industri ini adalah dengan membina lebih banyak pusat kraftangan dalam negara. Usaha mengeksploitasikan sumber semula jadi negara untuk dijadikan kraftangan mampu memberikan sentuhan unik terhadap produk tersebut lalu meninggikan permintaannya pada masyarakat luar. Pengarah Usahawan Kraftangan Malaysia, Mokhtar Lop Abdullah berkata, berdasarkan statistik Kajian Industri Kraf 2007, jualan kraftangan bagi kategori hutan mencecah RM58.9 juta manakala yang berasaskan bukan hutan pula  RM10.9 juta. Menurut beliau lagi, kini terdapat 50 pengusaha barangan kraf yang telah membuka kilang sendiri yang menyediakan barangan kraf dengan peralatan yang canggih dan barangan kraf yang dihasilkan turut diedar di dalam dan luar negara dan ia agak memberangsangkan dari jumlah pendapatan pada tahun 2007. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif pula menjelaskan bahawa sememangnya barangan kraftangan memberi banyak sumbangan dari segi jumlah pelancong yang datang ke dalam negara. Bagi beliau, industri pelancongan dan industri kraftangan adalah saling berhubungan dan saling memerlukan antara satu sama lain. Menurut beliau lagi, barangan kraftangan yang dieksport ke luar negara seperti di negara barat akan menyebabkan nama Negara Malaysia akan dikenali dan mendorong para pelancong untuk datang ke negara kita untuk melihat sendiri produk tersebut dihasilkan. Namun yang demikian, kraftangan yang berasaskan hutan adalah dilihat sebagai suatu yang berpotensi tinggi untuk menjana pendapatan pengusaha. Terdapat 6,200 pengusaha industri kraf di seluruh negara dan 60 peratus adalah pengusaha berasaskan industri rimba. Pulangan yang lumayan sebagai pengusaha berasaskan rimba ini menyebabkan ramai pengusaha kraftangan lebih gemar untuk menceburi bidang berasaskan hutan berbanding dengan batik dan tenunan iaitu dianggarkan 40 peratus pengusaha barangan kraftangan di Malaysia menjalankanya. Secara keseluruhannya, terdapat kira-kira RM73 juta disumbangkan oleh industri kraftangan kepada Negara Malaysia bagi pasaran domestik dalam tempoh sembilan bulan tahun 2010. 

Cara Menganyam Tikar


SUMBER: YOUTUBE

Seni Perabot

SUMBER: GOOGLE IMEJ

Barangan kraftangan yang menjadi perabot yang popular yang bersumberkan hutan adalah yang dihasilkan daripada buluh. Buluh adalah sejenis tumbuhan bukan kayu yang mampu memenuhi ciri-ciri tersebut. Sumber buluh bertaburan secara meluas di tepi-tepi sungai dan di kawasan-kawasan hutan yang terbuka seperti kawasan tanaman pindah dan kawasan yang sudah dikerja balak secara intensif. Secara tradisionalnya buluh begitu berguna dalam kehidupan seharian terutamanya bagi penduduk di sekitar Asia. Di Negeri Kelantan misalya kraftangan rotan dan buluh begitu popular. Kebanyakan rotan digunakan untuk membuat perabot seperti almari, kerusi, tempat beriadah dan sebagainya. Sementara buluh-buluh pula dijual dalam bentuk yang belum diproses pada pembeli-pembeli yang akan membekalkannya kepada pengusaha di luar negeri Kelantan bagi tujuan untuk membuat pencucuk sate, chopstick dan sebagainya. Meskipun begitu, terdapat juga produk-produk yang dihasilkan dari rotan dan buluh ini seperti sarang burung, sumpit, bakul, raga, alat menangkap ikan seperti bubu, serkap dan sebagainya. Ia dibuat terutamanya oleh orang-orang asli yang mendiami kawasan pedalaman negeri Kelantan. Walaubagaimanapun, hasil-hasil kraftangan daripada buluh ini tidak diusahakan secara komersial oleh masyarakat tempatan di Kelantan. Ia diusahakan secara sambilan sahaja terutamanya untuk kegunaan sendiri dan sebagai hobi masa lapang. Di Kelantan, penggunaan rotan adalah meluas terutamanya digunakan oleh pengusaha-pengusaha perabot yang mengusahakannya secara komersial. Perabot-perabot yang dihasilkan oleh pengusaha di negeri Kelantan mempunyai ketinggian daya ciptanya yang tersendiri. Ini dapat dilihat daripada seni buatannya yang kemas, halus dan teliti. Antara jenis perabot yang dihasilkan adalah seperti kerusi, almari, rak kasut dan sebagainya termasuklah sebagai lantai beranda rumah sesetengah individu. Perabot yang dihasilkan daripada buluh ini biasanya telah di cat terlebih dahulu dan telah diproses agar tidak memudaratkan penggunanya. 

Credit To: http://industri-kraftangan.blogspot.com/

Seni Tikar


SUMBER: GOOGLE IMEJ
Seni tikar merupakan satu jenis anyaman dan tradisi yang tidak mempunyai pengaruh luar. Seni anyaman yang sering dikaitkan dengan tikar bermula pada zaman dahulu kala dan kebanyakan hasilnya digunakan untuk pakaian, atap, tali dan keperluan kehidupan. Bahan asas yang paling awal digunakan untuk menghasilkan anyaman ialah akar dan rotan. Seni anyaman ini juga merupakan salah satu kreativiti masyarakat pada zaman dahulu untuk memanfaatkan sumber alam seperti buluh dan rotan untuk dijadikan sebahagian daripada keperluan hidup mereka. Seni anyaman sesuatu yang tidak dapat dipisahkan daripada cara hidup tradisional masyarakat di nusantara. Daripada tikar kepada dinding pelindung kediaman, hasil kerja menganyam membentuk persekitaran hidup yang boleh di lihat dimana-mana. Keadaan ini tidak menghairankan kerana tumbuh-tumbuhan tropika yang diperolehi di hutan-hutan banyak yang sesuai untuk dijadikan bahan anyaman. 
SUMBER: GOOGLE IMEJ


Keseluruhannya, kemahiran asas dalam seni anyaman tidak banyak berbeza dan cuma bergantung kepada jenis tumbuhan yang dijadikan bahan anyaman. Antara tumbuh-tumbuhan yang paling banyak digunakan dalam seni anyaman ialah buluh, mengkuang, rotan, ribu-ribu dan lidi yang boleh diperolehi daripada hutan. Perbezaan ciri tumbuh-tumbuhan ini menghasilkan pelbagai bentuk dan barangan seni anyaman. Menurut Siti Zainun (1986), dalam buku Reka Bentuk Kraf Tangan Melayu Tradisi, semasa zaman pemerintahan Long Yunus di negeri Kelantan (1756-1794), penggunaan anyaman digunakan oleh raja di mana anyaman tersebut dipanggil ‘Tikar Raja’ yang diperbuat daripada pohon bemban. Revolusi penggunaan tikar sejak zaman dahulu dapat dilihat melalui penggunaan dan penghasilan seni tikar ini yang mana hierarki bawahan dalam sistem masyarakat menjadikan penghasilan tikar ini sebagai punca atau sumber ekonomi mereka. Sehingga kini menjelang era globalisasi terdapat lagi beberapa negeri masih aktif menjalankan kegiatan anyaman di peringkat kampung. Di peringkat negeri pula, negeri yang masih mengamalkan seni anyaman ialah Negeri Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Sabah dan Sarawak. Kesinambungan untuk memartabatkan seni anyaman tikar ini selari dengan hasrat kerajaan untuk memartabatkan lagi seni tradisional Malaysia untuk diangkat ke peringkat antarabangsa sebagai salah satu tonggak warisan negara bagi menunjukkan identiti negara Malaysia yang mempunyai seni dan kreativiti tersendiri yang perlu ditonjolkan untuk ikutan masyarakat dunia.


Jenis-jenis Anyaman dalam Kraftangan





Jenis Anyaman
Bahan
Hasil Anyaman
Anyaman Mengkuang
Daun Mengkuang
Ayaman Mengkuang
SUMBER: GOOGLE IMEJ
Tikar, tudung saji, bekas pakaian dan lain-lain
Anyaman Pandan
Daun Pandan Duri
Ayaman Pandan

Antara bahan yang seringkali digunakan untuk membuat kraftangan



Hasil kraftangan telah bermula sejak dahulu lagi dan diperturunkan kepada generasi ke generasi dan menjadi satu kemahiran sesuatu kaum atau bangsa. Kegiatan pengeluaran barang kraftangan ini dahulu berkaitan dengan kepercayaan agama, tradisi sesuatu puak atau kaum. Pada kebiasanya, kegiatan-kegiatan seperti ini tidak mementingkan soal ekonomi atau harga kepada hasil tersebut sebaliknya lebih mementingkan kepuasan kepada penciptanya dan juga keindahan kepada barangan yang dihasilkan. Secara amnya, kraftangan boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu; secara formal iaitu pengeluaran produk oleh pengusaha secara sepenuh masa dan secara tidak formal iaitu dilakukan oleh pengusaha untuk tujuan sementara dan sebagai suatu hobi. Berikut adalah antara sumber utama dalam penghasilan kraftangan yang diperolehi daripada hutan.

 Rotan 


SUMBER: GOOGLE IMEJ

Rotan merupakan sumber hutan bukan kayu yang mempunyai pelbagai fungsi dalam pembuatan kraftangan dan perabot. Melalui sumber ini boleh digunakan untuk menghasilkan barangan yang bermutu dan mempunyai nilai yang tinggi di pasaran. Rotan berasal dari Famili Palme dan dikelaskan dalam kumpulan yang terbesar iaitu parafamili calamoideae. Ia mempunyai batang berduri dan memanjat tetapi terdapat juga jenis yang tidak memanjat. Terdapat 13 genus rotan di dunia iaitu Calamus, Daemonorops, Karthalsia, Plectocomia, Plectocomiopsis, Myrialepis, Ceratolobus, Calospatha, Pogonotium, Retispatha, Laccosperma, Eremospatha, dan Onecocalamus. Hampir 600 jenis rotan dihasilkan daripada 13 genus ini. Daripada 107 jenis rotan yang ditemuai di Semenanjung Malaysia, hanya 20 jenis sahaja yang dikenal pasti kegunaannya serta mempunyai nilai komersil. Antaranya ialah rotan manau (Calamus manau), rotan matang atau dikenali juga sebagai rotan dok (C. ornatus), rotan manau tikus (C. tumidus), rotan semambu (C. scipionum), rotan dahan (Karthalsia sp) dan rotan sega (C. caesius). Ciri-ciri rotan ialah ringan, kuat dan mudah dibentuk, serta murah. Keistimewan rotan ialah cepat tumbuh serta dianggap lebih mendatangkan keuntungan berbanding dengan perabot yang diperbuat daripada bahan kayu. Selain memiliki kekuatan, rotan juga lebih ringan dan mudah untuk dipindahkan. Rotan memberi sumbangan ekonomi melalui pemprosesan perabot dan kraftangan. Antara perabot yang dihasilkan ialah kerusi, meja, katil, serta perkakas dapur. Rotan jenis belah biasanya digunakan untuk mengayam tikar ataupun lapik.


 Buluh

SUMBER: GOOGLE IMEJ

Seperti rotan, buluh juga merupakan antara sumber utama dalam penghasilan kraftangan. Buluh berasal dari famili rumput (Graminea) dan dikelaskan dalam parafamili Bambusae. Ia merupakan rumput yang terbesar di dunia dan boleh mencapai ketinggian 40m dengan batang sebesar 30cm. Terdapat 75 genus dan sebanyak 1250 jenis tersebar di seluruh dunia. Pada masa dahulu, buluh dianggap sebagai rumpai di dalam hutan, tetapi sekarang ia dikenali sebagai tumbuhan yang mempunyai pelbagai kegunaan. Industri perabot dan kraftangan buluh telah berkembang maju pada masa kini. Buluh yang mempunyai serabut dengan purata panjang 3.45mm boleh menghasilkan kertas seperti pokok kayu konifer di negara berhawa sederhana. Di Malaysia, terdapat dua jenis buluh yang digunakan untuk menghasilkan kertas iaitu Dendrocalamus giganteus (Giant bamboo) dan Dendrocalamus asper (Asper). Kegunaan buluh yang lain adalah juga boleh ditanam untuk mengawal hakisan tanah kerana ia dapat hidup dengan baik di kawasan yang mungkin menimbulkan masalah untuk tanaman lain. Ia mengeluarkan banyak rizom yang dapat menghasilkan daya pengikat tanah yang kuat. Bak kata pepatah Melayu ‘seperti aur dengan tebing’. Buluh juga digunakan dalam pembinaan rumah sebagai rangka atap dan dinding, bakul sayur, batang colok, reban atau kandang binatang ternakan serta menguat konkrit dalam pembinaan jalan raya. Buluh juga dijadikan sebagai hiasan dan juga bonsai.

Credit To: http://industri-kraftangan.blogspot.com/

Saturday 9 November 2013

Seni Kraftangan Di Malaysia

SUMBER: GOOGLE IMEJ

SUMBER: GOOGLE IMEJ

Malaysia bertuah memiliki hasil alam yang dapat menyumbang kepada pendapatan dan ekonomi rakyat tempatan. Bidang hasil rimba seperti bahan daripada kayu, buluh, rotan, mengkuang, pandan, bemban, tempurung kelapa dan daun serdang gigih diusahakan oleh usahawan kraf tempatan untuk produk kraftangan. Produk-produk ini mempunyai pasaran yang luas pada masa kini sama ada untuk pasaran tempatan dan pasaran antarabangsa. Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM), mentakrifkan kraftangan ialah kerja penghasilan peralatan berguna atau hiasan dengan menggunakan tangan sepenuhnya atau perkakas ringkas sahaja. Pertukangan kraftangan seharusnya dikerjakan secara perseorangan atau kecil-kecilan. Hasil kraftangan selalunya membawa kepentingan kebudayaan atau keagamaan. Manakala keluaran kraftangan ertinya apa-apa keluaran artistik yang mempunyai daya tarikan kebudayaan atau tradisional dan adalah hasil dari sesuatu proses yang bergantung semata-mata atau sebahagiannya kepada kemahiran tangan. Kraftangan juga termasuk semua barangan seni yang menjadi tarikan masyarakat atau mempunyai tarikan unsur tradisional yang menunjukkan proses pembentukan. Pembentukan dengan menggunakan kemahiran tangan boleh juga meliputi penggunaan mesin atau alat-alat yang ada. Manakala Peter Dolmer (1997), mentafsirkan makna kraf sebagai aktiviti kreatif berkemahiran dan penelitian proses-proses yang perlu dilalui untuk menghasilkan seni anyaman. Ini menunjukkan bahawa ianya memerlukan pemikiran saintifik dan matematik yang kompleks dan rumit yang selalunya hanya dianggap sebagai simbol tanda kepekaan yang asli atau hasil kerja seni. Sementara itu, menurut Ismail Ibrahim (2007), seni kraf mempunyai aturan dalam penghasilannya. Pengamal kraf disebut tukang, bersesuaian dengan kemahiran yang dimiliki sejak turun-temurun. Penghayatan seni kraf mengambil kira aspek berikut; pertama adalah pengetahuan dan pengalaman tukang dan kedua, kemahiran tukang dalam mengaplikasikan teknik penghasilannya. Justeru, kraf tradisi ini mencetuskan keindahan, kehalusan dan keaslian yang tersembunyi malah motif-motif disampaikan adalah satu cerminan terhadap nilai kepercayaan dan adat budaya masyarakat mereka. Kraftangan mempunyai tiga ciri utama iaitu hasil keluaran, kepercayaan budaya dan agama serta keperluan tradisional. Ketiga-tiga ciri ini digabungkan untuk mewujudkan satu nilai estetika yang menggunakan tenaga manusia sendiri tanpa alat yang berteknologi tinggi dan biasanya hasil kraftangan adalah bersifat sederhana dan tidak terlalu kompleks seperti keluaran lain. Terdapat pelbagai jenis hasil kraftangan yang boleh diperolehi bersumberkan hasil hutan seperti perabot-perabot contohnya almari, kerusi malas, meja dan sebagainya.

                2) http://industri-kraftangan.blogspot.com/