Popular Posts

Saturday 9 November 2013

Seni Kraftangan Di Malaysia

SUMBER: GOOGLE IMEJ

SUMBER: GOOGLE IMEJ

Malaysia bertuah memiliki hasil alam yang dapat menyumbang kepada pendapatan dan ekonomi rakyat tempatan. Bidang hasil rimba seperti bahan daripada kayu, buluh, rotan, mengkuang, pandan, bemban, tempurung kelapa dan daun serdang gigih diusahakan oleh usahawan kraf tempatan untuk produk kraftangan. Produk-produk ini mempunyai pasaran yang luas pada masa kini sama ada untuk pasaran tempatan dan pasaran antarabangsa. Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM), mentakrifkan kraftangan ialah kerja penghasilan peralatan berguna atau hiasan dengan menggunakan tangan sepenuhnya atau perkakas ringkas sahaja. Pertukangan kraftangan seharusnya dikerjakan secara perseorangan atau kecil-kecilan. Hasil kraftangan selalunya membawa kepentingan kebudayaan atau keagamaan. Manakala keluaran kraftangan ertinya apa-apa keluaran artistik yang mempunyai daya tarikan kebudayaan atau tradisional dan adalah hasil dari sesuatu proses yang bergantung semata-mata atau sebahagiannya kepada kemahiran tangan. Kraftangan juga termasuk semua barangan seni yang menjadi tarikan masyarakat atau mempunyai tarikan unsur tradisional yang menunjukkan proses pembentukan. Pembentukan dengan menggunakan kemahiran tangan boleh juga meliputi penggunaan mesin atau alat-alat yang ada. Manakala Peter Dolmer (1997), mentafsirkan makna kraf sebagai aktiviti kreatif berkemahiran dan penelitian proses-proses yang perlu dilalui untuk menghasilkan seni anyaman. Ini menunjukkan bahawa ianya memerlukan pemikiran saintifik dan matematik yang kompleks dan rumit yang selalunya hanya dianggap sebagai simbol tanda kepekaan yang asli atau hasil kerja seni. Sementara itu, menurut Ismail Ibrahim (2007), seni kraf mempunyai aturan dalam penghasilannya. Pengamal kraf disebut tukang, bersesuaian dengan kemahiran yang dimiliki sejak turun-temurun. Penghayatan seni kraf mengambil kira aspek berikut; pertama adalah pengetahuan dan pengalaman tukang dan kedua, kemahiran tukang dalam mengaplikasikan teknik penghasilannya. Justeru, kraf tradisi ini mencetuskan keindahan, kehalusan dan keaslian yang tersembunyi malah motif-motif disampaikan adalah satu cerminan terhadap nilai kepercayaan dan adat budaya masyarakat mereka. Kraftangan mempunyai tiga ciri utama iaitu hasil keluaran, kepercayaan budaya dan agama serta keperluan tradisional. Ketiga-tiga ciri ini digabungkan untuk mewujudkan satu nilai estetika yang menggunakan tenaga manusia sendiri tanpa alat yang berteknologi tinggi dan biasanya hasil kraftangan adalah bersifat sederhana dan tidak terlalu kompleks seperti keluaran lain. Terdapat pelbagai jenis hasil kraftangan yang boleh diperolehi bersumberkan hasil hutan seperti perabot-perabot contohnya almari, kerusi malas, meja dan sebagainya.

                2) http://industri-kraftangan.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment