Popular Posts

Sunday 10 November 2013

Antara bahan yang seringkali digunakan untuk membuat kraftangan



Hasil kraftangan telah bermula sejak dahulu lagi dan diperturunkan kepada generasi ke generasi dan menjadi satu kemahiran sesuatu kaum atau bangsa. Kegiatan pengeluaran barang kraftangan ini dahulu berkaitan dengan kepercayaan agama, tradisi sesuatu puak atau kaum. Pada kebiasanya, kegiatan-kegiatan seperti ini tidak mementingkan soal ekonomi atau harga kepada hasil tersebut sebaliknya lebih mementingkan kepuasan kepada penciptanya dan juga keindahan kepada barangan yang dihasilkan. Secara amnya, kraftangan boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu; secara formal iaitu pengeluaran produk oleh pengusaha secara sepenuh masa dan secara tidak formal iaitu dilakukan oleh pengusaha untuk tujuan sementara dan sebagai suatu hobi. Berikut adalah antara sumber utama dalam penghasilan kraftangan yang diperolehi daripada hutan.

 Rotan 


SUMBER: GOOGLE IMEJ

Rotan merupakan sumber hutan bukan kayu yang mempunyai pelbagai fungsi dalam pembuatan kraftangan dan perabot. Melalui sumber ini boleh digunakan untuk menghasilkan barangan yang bermutu dan mempunyai nilai yang tinggi di pasaran. Rotan berasal dari Famili Palme dan dikelaskan dalam kumpulan yang terbesar iaitu parafamili calamoideae. Ia mempunyai batang berduri dan memanjat tetapi terdapat juga jenis yang tidak memanjat. Terdapat 13 genus rotan di dunia iaitu Calamus, Daemonorops, Karthalsia, Plectocomia, Plectocomiopsis, Myrialepis, Ceratolobus, Calospatha, Pogonotium, Retispatha, Laccosperma, Eremospatha, dan Onecocalamus. Hampir 600 jenis rotan dihasilkan daripada 13 genus ini. Daripada 107 jenis rotan yang ditemuai di Semenanjung Malaysia, hanya 20 jenis sahaja yang dikenal pasti kegunaannya serta mempunyai nilai komersil. Antaranya ialah rotan manau (Calamus manau), rotan matang atau dikenali juga sebagai rotan dok (C. ornatus), rotan manau tikus (C. tumidus), rotan semambu (C. scipionum), rotan dahan (Karthalsia sp) dan rotan sega (C. caesius). Ciri-ciri rotan ialah ringan, kuat dan mudah dibentuk, serta murah. Keistimewan rotan ialah cepat tumbuh serta dianggap lebih mendatangkan keuntungan berbanding dengan perabot yang diperbuat daripada bahan kayu. Selain memiliki kekuatan, rotan juga lebih ringan dan mudah untuk dipindahkan. Rotan memberi sumbangan ekonomi melalui pemprosesan perabot dan kraftangan. Antara perabot yang dihasilkan ialah kerusi, meja, katil, serta perkakas dapur. Rotan jenis belah biasanya digunakan untuk mengayam tikar ataupun lapik.


 Buluh

SUMBER: GOOGLE IMEJ

Seperti rotan, buluh juga merupakan antara sumber utama dalam penghasilan kraftangan. Buluh berasal dari famili rumput (Graminea) dan dikelaskan dalam parafamili Bambusae. Ia merupakan rumput yang terbesar di dunia dan boleh mencapai ketinggian 40m dengan batang sebesar 30cm. Terdapat 75 genus dan sebanyak 1250 jenis tersebar di seluruh dunia. Pada masa dahulu, buluh dianggap sebagai rumpai di dalam hutan, tetapi sekarang ia dikenali sebagai tumbuhan yang mempunyai pelbagai kegunaan. Industri perabot dan kraftangan buluh telah berkembang maju pada masa kini. Buluh yang mempunyai serabut dengan purata panjang 3.45mm boleh menghasilkan kertas seperti pokok kayu konifer di negara berhawa sederhana. Di Malaysia, terdapat dua jenis buluh yang digunakan untuk menghasilkan kertas iaitu Dendrocalamus giganteus (Giant bamboo) dan Dendrocalamus asper (Asper). Kegunaan buluh yang lain adalah juga boleh ditanam untuk mengawal hakisan tanah kerana ia dapat hidup dengan baik di kawasan yang mungkin menimbulkan masalah untuk tanaman lain. Ia mengeluarkan banyak rizom yang dapat menghasilkan daya pengikat tanah yang kuat. Bak kata pepatah Melayu ‘seperti aur dengan tebing’. Buluh juga digunakan dalam pembinaan rumah sebagai rangka atap dan dinding, bakul sayur, batang colok, reban atau kandang binatang ternakan serta menguat konkrit dalam pembinaan jalan raya. Buluh juga dijadikan sebagai hiasan dan juga bonsai.

Credit To: http://industri-kraftangan.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment