Popular Posts

Sunday 10 November 2013

Seni Tikar


SUMBER: GOOGLE IMEJ
Seni tikar merupakan satu jenis anyaman dan tradisi yang tidak mempunyai pengaruh luar. Seni anyaman yang sering dikaitkan dengan tikar bermula pada zaman dahulu kala dan kebanyakan hasilnya digunakan untuk pakaian, atap, tali dan keperluan kehidupan. Bahan asas yang paling awal digunakan untuk menghasilkan anyaman ialah akar dan rotan. Seni anyaman ini juga merupakan salah satu kreativiti masyarakat pada zaman dahulu untuk memanfaatkan sumber alam seperti buluh dan rotan untuk dijadikan sebahagian daripada keperluan hidup mereka. Seni anyaman sesuatu yang tidak dapat dipisahkan daripada cara hidup tradisional masyarakat di nusantara. Daripada tikar kepada dinding pelindung kediaman, hasil kerja menganyam membentuk persekitaran hidup yang boleh di lihat dimana-mana. Keadaan ini tidak menghairankan kerana tumbuh-tumbuhan tropika yang diperolehi di hutan-hutan banyak yang sesuai untuk dijadikan bahan anyaman. 
SUMBER: GOOGLE IMEJ


Keseluruhannya, kemahiran asas dalam seni anyaman tidak banyak berbeza dan cuma bergantung kepada jenis tumbuhan yang dijadikan bahan anyaman. Antara tumbuh-tumbuhan yang paling banyak digunakan dalam seni anyaman ialah buluh, mengkuang, rotan, ribu-ribu dan lidi yang boleh diperolehi daripada hutan. Perbezaan ciri tumbuh-tumbuhan ini menghasilkan pelbagai bentuk dan barangan seni anyaman. Menurut Siti Zainun (1986), dalam buku Reka Bentuk Kraf Tangan Melayu Tradisi, semasa zaman pemerintahan Long Yunus di negeri Kelantan (1756-1794), penggunaan anyaman digunakan oleh raja di mana anyaman tersebut dipanggil ‘Tikar Raja’ yang diperbuat daripada pohon bemban. Revolusi penggunaan tikar sejak zaman dahulu dapat dilihat melalui penggunaan dan penghasilan seni tikar ini yang mana hierarki bawahan dalam sistem masyarakat menjadikan penghasilan tikar ini sebagai punca atau sumber ekonomi mereka. Sehingga kini menjelang era globalisasi terdapat lagi beberapa negeri masih aktif menjalankan kegiatan anyaman di peringkat kampung. Di peringkat negeri pula, negeri yang masih mengamalkan seni anyaman ialah Negeri Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Sabah dan Sarawak. Kesinambungan untuk memartabatkan seni anyaman tikar ini selari dengan hasrat kerajaan untuk memartabatkan lagi seni tradisional Malaysia untuk diangkat ke peringkat antarabangsa sebagai salah satu tonggak warisan negara bagi menunjukkan identiti negara Malaysia yang mempunyai seni dan kreativiti tersendiri yang perlu ditonjolkan untuk ikutan masyarakat dunia.


No comments:

Post a Comment